Masam Manis Filem Malaysia

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Kredit: #PolisEvo
Peh peh, dah lama tak menulis blog di sini berikutan sibuk duk melakar masa depan. Cehwahhh. Almaklumlah, sejak dah bergelar lepasan sekolah ni, hendaklah hendak hendak ku rasa akan life sebagai seorang dewasa. Apatah lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu serta penuh dengan liku-liku dan palitan politik yang mengotori serta ancaman-ancaman ekstremis dalam agama dan sebagainya yang sedikit sebanyak merencatkan kejayaan menuju Wawasan 2020. Bak kata quote terkenal, "Ku sangkakan 2020 ada kereta yang berterbangan, rupanya duitku kemelayangan." Bersabarlah duniawi semuanyaaa.

Baiklah, untuk entry kali ini, aku malas nak cerita bab sedih-sedih atau yang gambar-gambar. Kalau kau rasa kau rajin nak membaca, kau bacalah. Tapi kalau kau ni jenis yang suka menghadap video aneh 15 saat Instageram atau video sketsa pendek Pesbuk ke apa, kau pergilah layan kat sana tu. Sini bukan tempatnya. Mungkin umat sekarang dah senang dah selesa nak jadi katak bawah tempurung sehingga lupa untuk membaca. Masihkah kita ingat lagu "bacalah, bacalah mari membaca, jadikan membaca budaya kita" yang selalu bermain di TV saat kau tak punya Astro lagi? Huhuhu.

Kali ini, aku nak cerita la sedikit (bagi mereka yang jarang mengetahui perkembangan terkini Malaysia dari sudut hiburannya) mengenai filem Malaysia. Kalau kau jenis yang 'hiburan itu lagha', 'bersama menyokong dakwah tikam' dan sebagainya, takpe, boleh close tab ini kerana ini bukan tempatmu. Melainkan kalau nak baca sahaja, takpelah. Aku bab dengan masyarakat yang 'islamik' ni tak berani nak komen apa apa sebab nanti orang kata menghina pegangan Islam, bukan? Eh, taknak cerita bab agama sebab ilmu pun panjang sejengkal je. 

Filem Malaysia.

Sejak kebelakangan dua ke tiga tahun ini, sambutan terhadap filem Malaysia semakin luntur dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri yang mungkin tidak support our local films. Or maybe genre yang tidak berkesudahan seperti cinta, aksi, ganas, samseng dan sebagainya sudah berlambak dan melambakkan panggung wayang dan akhirnya... cengkerik. Malahan, ada juga yang lebih mendorong untuk menyokong international movies sehingga membuatkan filem mereka lagi box office daripada filem orang kita sendiri. Disebabkan itu, ramai yang kritik dan melakukan timbang tara perbandingan antara kualiti filem Malaysia dan filem overseas itu.

Sampaikan pada suatu tahap, penerbit dan produser filem sudah mati idea untuk menerbitkan filem lagi. Mungkin juga banyak sudah disalurkan ideanya dalam telefilem atau drama bersiri di kaca televisyen. Hinggakan terpaksa mengadaptasi daripada novel bestseller laris. Satu cubaan yang baik juga, mungkin cara menyelamatkan amalan membaca yang semakin pudar dek wujudnya apa yang kau tengah pegang dan lihat sekarang ni. Eh. Contoh paling terdekat kita ambil sebuah filem Malaysia box-office yang cuba mengangkat martabat novel ke layar perak (mungkin bagi saya, percubaan pertama adaptasi novel ke filem selain drama), tahniah untuk RM10.90 juta daripada peminat filem Malaysia, peminat novel itu, peminat cerita cinta dan segala yang ada link dengan semua itu.

Biarpun begitu, genre cinta masih lagi tak dapat dipisahkan daripada pemikiran para pengkarya filem tempatan. Masih lagi dalam topik yang sama, jalan cerita yang sama dan idea yang sama tapi pengolahan watak yang kreatif. Eventhough begitu sekalipun, penonton Malaysia yang sudah masak dengan 'resipi' filem dan drama tempatan sudah dapat meneka akan overall cerita yang dipaparkan. Baik cinta aksi, romantik komedi dan lambakan filem yang judulnya untuk menarik perhatian penonton tetapi gagal. At the end, hanya akan menjadi tayangan istimewa malam-malam Aidilfitri dan saluran berbayar seperti Astro Citra dan HyppTV. Ataupun cetak rompak yang berleluasa di pasar malam.

Tapi cetak rompak versi DVD sekarang tidak relevan seiring dengan 2016 pada masa kini. Dengan wujudnya internet berkelajuan tinggi seperti UniFi, P1 4G dan Para Pencuri Wifi Jiran (eh?), oh tidak ketinggalan. WiFi percuma. Maka DVD maybe seems will be remain history in our life. Huhuhu. Kini, filem di hujung jari sahaja, tinggal untuk muat turun. Sehinggakan Astro mengambil langkah menggunakan iklan 'ayah saya buat filem, korang janganlah buat ayah macam tu, jangan beli cetak rompak tau' untuk menyelamatkan maruah industri tempatan.

Apapun, aku tidaklah mengutuk filem-filem Malaysia kerana aku pun menyokong dengan menonton filem-filem tersebut (beritahu awal-awal secara sengaja sebab takut orang hentam aku pula sebab kutuk filem Malaysia tapi duduk dekat Malaysia umpama adik Neelfoa, Ameera membuat video pasal sekolah tu. Eh.). Cumanya kita akan merindui zaman-zaman filem yang genrenya tidak sestatik dengan apa yang sedang hot sekarang. Masihkah kita teringat akan kegemilangan filem Gerak Khas The Movie triloginya? Kemudian, era genre mat rempit atau perlumbaan motosikal seperti Remp-it dan KL Menjerit. Selepas itu, mungkin bosan asyik buat filem guna prop motosikal, makanya dibuat genre racing ala-ala Fast and Furious dan Need For Speed. Maka muncullah karya seperti Evolusi KL Drift, Impak Maksima dan Gangster. And then, mungkin nakkan kelainan dalam genre dua yang ganas ni, maka ditampilkan elemen komedi dalam filem dengan rencahan genre yang serius maka muncullah genre komedi aksi. Siri-siri Adnan Sempit takkan kita lupakan kerana pernah menghiasi TV kita semua.

Aku masih teringat lagi hebatnya penangan filem dulu-dulu kepada mak abah kita la ni. Kalau abah nak suruh aku tidur tapi mata aku ni susah nak tidur, liar sangat matanya nak tidur, haihhh tak tahulah kenapa enn. Lalu, ayah pun kata, "Tidur. Nanti Maya Karin datang kat tingkap tu tahulah," Kalau usia seperti aku mesti akan faham apakah Maya Karin yang diceritakan oleh abah. Bukan Maya Karin Ombak Rindu okayy. Tapi Pontianak Harum Sundal Malam. Make upnya bolehlah serba sedikit menakutkan kanak-kanak dan menjadi modal yang perfect bagi mak abah dalam mendidik anak-anak mereka.

Filem sejarah seperti 1957: Hati Malaya, Tanda Putera, 29 Februari, Bukit Kepong HD, Hikayat Merong Mahawangsa dan sebagainya sedikit sebanyak mencelikkan ilmu sejarawan dalam masyarakat Malaysia. Tidak dinafikan filem-filem ini mempunyai nilainya dan tidak hanya ditayangkan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan di televisyen sahaja. Variasi genre filem seolah-olah kembali memikat penonton kita agar tidak hanya pada cereka, malahan filem-filem based on or inspired by true stories. Bagi memikat kanak-kanak dek imaginasi mereka yang luarbiasanya, maka filem superhero bagi menandingi Superman, Otomen dan Batman seperti Cicakman dan siri triloginya, Kapowww dan Antoo Fighter. Filem animasi juga tidak terkecuali seperti Geng Penggembaraan Bermula yang seketika memoviekan semula Upin dan Ipin dan Budak Lapok yang mengambil ilham Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Sungguhpun begitu, kita tidak akan lupa akan siri-siri filem P. Ramlee yang tak pernah jemu ditayangkan di TV2 saban malam. Takkan pernah pudar jenaka dalam siri-siri filem Senario. Dan juga lawak-lawak legend Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan sebagainya. Big clap.

Berbalik ke masa kini, penggiat seni filem seperti Metrowealth tidak pernah jemu untuk menghasilkan lambakan filem walaupun filemnya boleh dikategorikan tidak laris. Dan semakin lama semakin banyak industri filem yang cuba menghidupkan kembali aura karya seni Malaysia seperti Astro Shaw, Grand Brilliance (ni taklah baru, dah lama bertapak, cuma kembali ber'aksi'), Primework Studios dan lain-lain.

Namun, filem Malaysia juga kembali rancak selepas siri-siri filem box office dengan karya yang segar dan menambat hati penonton. Kita imbas kembali kejayaan filem-filem Malaysia yang mungkin terlepas kebanggaan dalam rakyat Malaysia sendiri. Antaranya, percubaan Astro Shaw dengan filem Ombak Rindu berjaya mengutip lebih RM10 juta, maka sedikit sebanyak menyuntik semangat pengkarya yang lain untuk menyaingi filem tersebut. Mungkin itu juga antara salah satu sebab mengapa banyak filem cinta tapi skop 'entah-apa-apa' selepas kejayaan Ombak Rindu itu. Skop Productions juga menerbitkan KL Gangster yang berjaya mengutip lebih RM11 juta. Mungkin juga antara sebab mengapa filem gangster, aksi dan sekuelnya KL Gangster 2 rancak bermain sepanjang empat tahun selepas filem KL Gangster dikeluarkan dengan bermacam-macam tajuk ada. Kita juga tak melupakan filem Metrowealth, Kongsi yang mana Shaheizy Sam menjadi heronya dan sedikit sebanyak mengingatkan kita genre sebegini dengan Gerak Khas, namun RM8 juta lebih membuktikan genre polis masih lagi memikat citarasa penggemar filem tempatan. Cerita genre Hantu daripada Excellent Pictures, Hantu Bonceng, yang turut membawa RM8 juta lebih sebagai pulangan juga turut menjadi saksi bahawa filem Malaysia masih lagi diminati biarpun diasak international movies memenuhi panggung wayang.

Kini, dalam dua tahun 2015-2016, kita menyaksikan genre cinta sudah pudar untuk dibox officekan. Mungkin juga Langit Cinta cuba nak saing dengan Ombak Cinta, tapi sayang, walaupun langit tu tinggi tapi ombak tetap membadai. Cehwah. Kejutan filem Polis Evo yang membadai filem tempatan seketika, dengan kutipan RM17 juta, menghangatkan kembali genre yang sama digunakan oleh Gerak Khas dan Kongsi. Tidak dilupakan pada tahun 2014, filem The Journey, yang bebas daripada cinta, gaduh-gaduh - hanya melibatkan kekeluargaan, persahabatan dan adat resam semata, dan bukan filem Melayu punya, tapi boleh bawa balik RM17 juta juga. Kini, Ola Bola sehingga catatan ini ditulis sudah mengutip RM14 juta lebih. BoboiBoy The Movie mengejutkan arena animasi Malaysia dengan tiga hari tayangan sudah pulun RM2 juta lebih. Kita sudah kurang filem genre cinta dan aksi yang dahulunya menjadi idaman dan pilihan para pengkarya seni Malaysia.

Aku assume tahun ini adalah tahun rezeki dan kreatif buat penggiat layar perak Malaysia. Semuanya mendapat pulangan yang baik. BoboiBoy The Movie sehingga post ini ditulis telah mengalahkan Geng: Penggembaraan Bermula (sespesies filem animasi Malaysia dengannya) berjaya kutip RM9juta. Munafik, filem seram Syamsul Yusof berjaya kutip RM11juta. Tahniah dan berharap siri-siri filem box office selepas ini lebih baik dan diperbaiki lagi. Bukan sekadar kutip RM200 000 lagi. Marilah, kita mempernarikkan lagi filem Malaysia dengan genre yang bermoral dan bernilai serta berjiwa bukan sekadar gangster dan cinta yang meleret ke tong sampah.

Sekian sahaja untuk post kali ini. Mari support our local films. Daripada kau duk "hotel yang sama, bilik yang sama, tetapi dua harga berbeza. Kenapa bayar lebih?" di televisyen. Tak mustahil filem Malaysia bakal diangkat ke layar perak Antarabangsa. Who knows, right? Assalamualaikum.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

[LIRIK] Isra' Mikraj - Nasyid SAMMPS 2014

Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Graduasi SAMMPS 2014

Majlis Konvokesyen Sekolah Rendah Islam & Tadika Islam Darul Thulab Kali ke-19 #Konvo19SRIDT