Selamat Tinggal Akhirnya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.
Bersama anda, Amirul Syafiq dalam blog (nak kata peribadi tidak tapi) umumnya yang satu-satunya ada di muka bumi Internet (sehingga 27 Disember 2012 jam 8.53pm).
Aii... dah lama rasanya aku tak update blog ini sejak mendapat keputusan dalam PMR. Ramai juga (padahal sikit) yang tanya bila aku nak update blog ni. Maklumlah, tema 'Kembali ke Sekolah' menjadi pilihan ibubapa malah pelajar malah sesiapa pun yang mempunyai anak yang masih lagi bersekolah. Promosi tu yang memaksa kami (sekeluarga) untuk membeli barangan dengan harga yang berpatutan.

Sedar tak sedar, nampaknya 2012 akan meninggalkan kita. Segala kenangan, memori atau catatan kembara perjalanan kehidupan kita akan menjadi suatu ensiklopedia yang tidak mampu dibukukan kembali. Segala kesilapan atau kebaikan yang selama ini kita lakukan akan dilupakan dan bermulalah era baru dalam hidup kita. Sama ada kita mahu berubah atau mengubah dari segi mentaliti, aspek pemikiran dan gaya kehidupan kita ke arah mencerna kebaikan daripada mencerca. Bak kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti. Sama ada kehilangan 2012 dalam kehidupan kita meninggalkan seribu satu sebab atau seribu satu kesedihan atau apa saja asalkan menepati kata orang tua, yang pergi itu tetap pergi.

Menyelusuri tahun 2012 yang kita lalui selama ini setakat ini, memang benar tak semuanya manis belaka. Kadangkala merasa lima belas sudu besar garam pun sanggup menahan masin dari menahan asin kehidupan yang memang tidak dapat dinafikan memang menyakitkan. Keperitan yang dilalui inilah mengajar kita saama ada kita mahu lagi merasa perkara itu pada tahun 2013 ataupun masih lagi mahu mencabar diri kita, menyiksa perasaan, jiwa dan batiniah kita. Seringkali manusia sedar bahawa kenangan bersama memang tak dapat dilupakan sehinggakan kita mahu mengulang kembali apa yang dirasa. Namun, hidup ini bukannya YouTube, kita boleh tengok kembali video selepas tamat tayangan. Malah, sampai sekarang, kita mampu mengubah pegangan dan prinsip hidup tapi malu atas desakan kawan dan ibu bapa. Nah, dengan adanya 2013, kita diberi peluang sama ada mahu kekal dengan prinsip hidup yang selama ini kita percaya nasib boleh berubah atas dasar desakan bukan perubahan yang bertitik noktah dalam hidup kita.

"Ketawa bersama, menangis bersama." Tapi, takkan nak "bersumpah harap kita mati pun bersama", bukan? "Setiap yang berlaku ada kebaikannya, harus pejam mata dan cuba apa saja." Tapi dalam kita memejamkan mata kita, adakah kita fikir bahawa kesempurnaan memang terletak sepenuhnya dalam diri inikah? Adakah kita sewaktu tahun 2012 disenangi oleh orang di sekeliling kita sama ada kita sedar atau tidak lantaran perbuatan kita yang seringkali diiyakan sebagai suatu perlakuan yang membawa keuntungan diri dan kepuasan hidup sampaikan kita tidak sedar perasaan manusia yang lain terguris gara-gara perlakuan kita itu? Tiba masanya kita mengupgrade diri kita, mentaliti kita atau senang kata keseluruhan yang membentuk diri kita. Ibarat Microsoft Office 2010 kini di2013kan dengan ciri-ciri yang memudahkan pengguna. Sama juga dengan diri kita. Setiap perlakuan haruslah difikirkan agar menyinggung atau melukakan hati tidak dilakukan oleh diri kita sendiri.

Jadi, kesimpulannya, sama ada kita mahu 2013 kita menyamai keseluruhan tatacara hidup kita pada tahun 2012, terpulang pada keazaman dan niat dala hati masing-masing. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Takkan manusia berubah tanpa melakukan apa-apa yng mendorong ke arahnya, bukan? Jadi, cuba cari, tepuk dada, sakit ke tidak? (Pulak!) Tepuk dada sendiri, tak perlu tepuk dada orang lain (nanti dituduh mencabul pula). Tak payah tanya pada orang, "diri aku ok ke?" tetapi tanyalah hati dan tanyalah diri sendiri. Imbas kembali apa yang kita lakukan pada tahun 2012 sebelum melangkah ke buku baru, diari baru dan permulaan cabaran dalam tahun 2013.


Nyalakan azam membumbung
Padukan tekad nan waja
Jangan sampai kau melambung
Baru sedar diri pula (main ubah je lirik lagu!)

Akhir kata, selamat tinggal akhirnya 2012. Ini bermakna 2012 akan menutup buku meninggalkan kita buat selama-lamanya. Dan berharaplah agar perubahan bukan pengekalan dalam diri kita. Anjaklah paradigma diri kita ke arah yang lebih berwawasan.

Apabila tiba 2013, pelajar sekolah akan kembali melakukan 'hobi' lama iaitu belajar dan diajar. Tak kurang juga situasi dan 'sini'asi yang berlaku (aii... maklumlah) selepas sebulan setengah bercuti. Bermacam ragam tetapi tarikh 1.1.2013 tetap datang hadir. Apatah lagi yang bersekolah berasrama itu, perhhh... tambahan pula yang baru kenal apa itu asrama (dengan erti kata lain Tingkatan 1 2013). Ketika itulah, kita terpaksa hadam melihat muka Pengetua, Guru Disiplin dan warden. Alat komunikasi a.k.a gajet terpaksa dipuasakan seperti dulu. Nampak gayanya, seluduplah (tapi takkan seludup pada bulan pertama sekolah?). Memang tak dapt dinafikan belajar merupakan hampir menguasai kehidupan kita namun itulah realitinya sama ada sukar atau tidak, hidup mesti diteruskan. Sekolah ini (kalau diumpamakan macam Need For Speed atau game perlumbaan kereta yang lain atau mana-mana permainan) ibarat ujian dalam permainan. Takkan duduk relax terus naik level. Kenalah berusaha dan belajar cara-caranya nak naik level agar tidak ketinggalan di kemudian hari, ya tak?

Jadi, aku ucapkan selamat menyambut tahun baru 2013 dan selamat bersekolah dengan berjaya dan bersuka rianya, ok? Good luck dan berusaha. Aku tahun ni nak ambil SMA, jadi berusaha.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ulasan

Catatan Popular